AGENDAJENAYAH

Ibu didakwa bunuh bayi lelaki enam bulan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Seorang kerani syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia enam bulan di sebuah rumah di Kampung Klang Gate, bulan lepas.

Zainah Misdin, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wanita itu didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas, membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Jalan Seladang 2 Kampung Klang Gate di sini pada 7.40 malam, 23 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Swinder Singh.

Pada 30 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian itu pegawai perubatan hospital telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan, namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang, 29 Ogos lepas.

-BERNAMA


Pengarang :