Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap dalam sidang media selepas majlis penyerahan bendera kontinjen Selangor ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Insentif untuk atlet sumbang pingat, ganjaran khas jika Selangor juarai SUKMA

SHAH ALAM, 8 SEPT: Atlet yang berjaya menyumbang pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 2022 akan menerima insentif daripada Kerajaan Negeri, kata Dato Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ganjaran itu telah ditetapkan dan direkodkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Ganjaran akan diberikan untuk sesiapa menyertai SUKMA, menang pingat emas, serta Sukan Sea dan Olimpik, semua sudah ditetapkan. Untuk SUKMA, minimum kita tetapkan RM3,000 untuk emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

“Namun, jika (Selangor) menang juara keseluruhan kita boleh ‘decide’ satu angka istimewa sebab pernah buat sebelum ini di Sarawak ditingkatkan jumlah ganjaran. Begitu juga mereka yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan, kita juga sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan bendera Kontinjen Selangor ke SUKMA ke-20 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Generasi Muda & Sukan Selangor di sini semalam.

Turut berlangsung penyerahan watikah lantikan ketua kontinjen negeri dan timbalan ke temasya sukan tersebut kepada EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Mohamad Zahri Samingon.

SUKMA ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor dari 6 hingga 14 Mac 2020 ditunda beberapa kali susulan pandemik Covid-19, sebelum diputuskan untuk dianjurkan Majlis Sukan Negara di Lembah Klang mulai 16 hingga 24 September ini.

Seramai 490 atlet dan 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA kali ini.


Pengarang :