Kakitangan Kolej Universiti Penerbangan Malaysia (UniCAM) memberi penerangan program pengajian yang ditawarkan institusi itu sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Institusi pengajian penerbangan pemudah cara mahasiswa pilih jurusan lanjut pelajaran

SHAH ALAM, 10 SEPT: Penyertaan institusi pengajian penerbangan awam dan swasta tempatan pada Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 memudahkan orang awam khususnya mahasiswa memilih jurusan sesuai untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ketua akademik Kolej Universiti Penerbangan Malaysia (UniCAM) berkata pihaknya sedia membantu pelajar yang berhasrat mengikuti pengajian dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa dari peringkat sijil hingga doktor falsafah.

“UniCAM merupakan salah satu universiti di Malaysia menawarkan program akademik dalam bidang penerbangan. Jadi kita guna peluang untuk memberi khidmat nasihat kepada orang ramai yang berminat mengikuti pengajian di UniCAM.

“Ini kerana UniCAM antara universiti yang mengenakan kadar yuran pengajian berpatutan iaitu RM20,000 bagi diploma dan ijazah sarjana muda (RM40,000),” kata Muhammad Nurulfaqih Mohd Sajali ketika ditemui di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark dekat sini, semalam.

Kursus ditawarkan universiti terbabit antaranya pengurusan penerbangan, pengangkutan udara, teknologi aeronautik, perkhidmatan penerbangan dan kru kabin, pengurusan operasi kapal terbang, pengurusan keselamatan penerbangan serta pengurusan kewangan penerbangan.

Dalam pada itu, Nurulfaqih berkata institusi ditubuhkan sejak 2007 kini memiliki lebih 1,000 penuntut yang sedang mengikuti pengajian dari pelbagai peringkat dan jurusan.

“Kita sasar antara 50 hingga 100 pelajar akan mendaftar dengan UniCAM pada SAS kali ini sekali gus mampu mengembangkan lagi universiti ini terutama daripada segi bilangan pelajar.

“Pelajar diploma dan ijazah sarjana muda akan mengikuti pengajian selama tiga tahun membabitkan teori serta latihan industri,” katanya menambah ramai alumni UniCAM mendapat tempat dalam pasaran industri sebaik tamat pengajian.

Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad menganjurkan SAS bermula tahun lalu bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam sektor penerbangan.

SAS 2022 berlangsung sejak Khamis hingga hari ini disertai 63 pempamer dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Republik Czech, United Kingdom dan Malaysia.


Pengarang :