Orang ramai menikmati juadah pada majlis Rumah Terbuka Negeri Selangor peringkat Daerah Petaling di Padang Awam MBSJ, Subang Jaya pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Istimewa jadi penduduk Selangor, semua golongan dapat insurans

SUBANG JAYA, 4 SEPT: Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang diumumkan baru-baru ini disifatkan sebagai salah satu keistimewaan menjadi rakyat negeri itu.

Kakitangan kerajaan, Nor Nawarini Zahari, 42, berkata justeru tidak hairanlah sekiranya lebih ramai rakyat dari negeri lain mahu berhijrah ke Selangor selepas ini.

“Sekarang ini pun ramai rakyat dari negeri lain datang ke Selangor untuk mencari rezeki. Dengan pengumuman ini, saya jangka lebih ramai lagi akan datang ke Selangor.

“Ini juga sebenarnya memberi kelebihan kepada Kerajaan Negeri dan membuatkan negeri kita lebih maju pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, jurutera, Hiz Haris Harun, 53, berkata skim INSAN membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki perlindungan insurans sendiri.

“Walaupun skim insurans adalah sesuatu yang amat penting, tetapi tidak ramai mampu memilikinya kerana ia memerlukan komitmen tinggi.

“Jadi, apa yang Kerajaan Negeri cadangkan ini adalah terbaik dan membantu golongan tersebut khususnya B40,” katanya.

Pada 30 Ogos, Dato’ Menteri Besar mengumumkan enam juta rakyat Selangor bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu akan ditawarkan kepada penduduk berusia 30 hari ke 80 tahun, dengan perlu memenuhi salah satu daripada dua syarat iaitu lahir di Selangor atau menjadi pengundi di Selangor.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar mulai 1 Oktober ini.


Pengarang :