Kakitangan KDEB Waste Management dan kontraktor sedang membersihkan longkang di Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya. Foto Facebook KDEBWM
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jangkaan hujan lebat, KDEBWM pelawa rakyat lapor longkang tersumbat

SHAH ALAM, 16 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengalu-alukan rakyat negeri ini membuat aduan mengenai pembersihan longkang sebagai persiapan menghadapi bencana alam.

Agensi itu memaklumkan, ia susulan Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Selangor (JMMNS) yang meminta orang ramai bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut bermula hari ini.

“Berdasarkan laporan tersebut, jangkaan taburan hujan yang tinggi akan menyebabkan kejadian banjir, banjir kilat, ribut, dan tanah runtuh.

“Malah, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) juga telah mengemukakan senarai kawasan yang berisiko menghadapi bencana ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

KDEBWM juga menyeru orang ramai mengambil langkah awal dengan membersihkan longkang di kawasan perumahan masing-masing agar pengalirannya lebih baik.

Menurutnya, longgokan sampah yang banyak di dalam longkang akan memberi kesan terhadap aliran air yang deras akibat banjir.

“Pihak KDEB Waste Management akan sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi isu ini,” katanya.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan bermula pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.


Pengarang :