Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin (dua,kanan) meninjau kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena air laut pasang besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Klang pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JPBD Klang tubuh pasukan khas, selaras bencana peringkat komuniti

KLANG, 13 SEPT: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang menubuhkan pasukan khas di peringkat komuniti bagi memudahkan penyelarasan jika berlaku bencana.

Pegawai Daerah Klang berkata Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) akan diberikan latihan dan kemahiran asas berkaitan pengurusan bencana oleh beberapa agensi kerajaan.

Menurut Shahman Jalaludin, agensi itu meliputi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis.

“Penubuhan pasukan khas ini sebagai langkah proaktif dan mengambil iktibar daripada kejadian banjir yang menimpa daerah ini pada Disember tahun lalu,” katanya pada sidang media di ban Pengkalan Tok Muda, Kapar di sini semalam.

Terdahulu, beliau bersama Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang Ir Ahmad Fauzan Mohd Sabri mengadakan lawatan ke beberapa ban berisiko terdedah banjir di daerah ini.

Shahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Klang memaklumkan pihaknya juga bakal menganjurkan bengkel program pengurusan risiko bencana berasaskan masyarakat di beberapa kawasan daerah terbabit.

Jelas beliau, bengkel pertama dijadualkan pada 18 September di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam diikuti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada 24 dan 25 September.

“Penganjuran bengkel ini membabitkan kerjasama Unit Pengurusan Bencana Negeri, APM, Pertubuhan Mercy Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi (terdedah banjir).

“Ia antara lain bertujuan melatih komuniti setempat dalam mengenal pasti dan mengurus bencana setempat,” katanya lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor menghadapi peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter(mm) mulai pertengahan bulan ini hingga Disember.

Dalam tempoh sama, fenomena air pasang besar juga dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang dengan paras air laut tertinggi dijangka mencapai 5.5 meter.

Keadaan itu boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk selain risiko banjir jika bertembung dengan hujan lebat.


Pengarang :