Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Meru di Taman Desa Indah, Meru, Klang pada 18 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan barang asas murah bantu puluhan ribu rakyat berjimat

SHAH ALAM, 30 SEPT: Tatkala harga ayam naik mendadak sehingga RM11 sekilogram sekitar Februari lalu, Kerajaan Selangor muncul negeri pertama memperkenal inisiatif jualan murah bagi membantu rakyat kurang kemampuan mendapat bahan makanan itu.

Menerusi Perbadananan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), bahan mentah itu dijual RM8 sekilogram, lebih rendah berbanding harga siling RM8.90.

Turut dijual menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan adalah telur yang berharga RM11.30 sepapan berbanding RM12.40 di pasaran.

Keadaan itu melegakan rakyat yang berpusupusu mendapatkan ayam dan telur di premis kendalian anak syarikat Kerajaan Negeri antaranya di Wisma PKPS, Shah Alam dan Pasar Borong Selangor, Subang Jaya.

Di Pasar Borong Selangor misalnya, semua 50 ayam jualan peniaga Heder Hashim habis dalam tempoh 30 minit. Lazimnya, ia habis jam 12 tengah hari selepas beroperasi mulai jam 8 pagi.

Keadaan itu bukan sahaja memanfaatkan pengguna, malah peniaga dapat menambah pendapatan.

Ramai menyifatkan tindakan itu tepat pada masanya ketika kebanyakan rakyat baru bangkit daripada dampak Covid-19. Kenaikan harga makanan asas seperti ayam merupakan perkara terakhir dimahukan mereka.

Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Melawati di Sasaran Sungai Buloh, Kuala Selangor pada 21 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN

Kerajaan Selangor pantas melancarkan inisiatif jualan murah ketika kerajaan persekutuan dan negeri lain masih tercari-cari formula menyelesaikan kenaikan harga barang.

Menyedari manfaat besar kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri
menerusi PKPS mengerakkan pula Jualan Prihatin Rakyat Ehsan dan terbaru Jelajah Ehsan Rakyat
bermula 6 September.

Lebih murah

Sejak tahun lalu hingga kini, RM11 juta diperuntuk untuk menawarkan barang makanan asas pada harga rendah termasuk program jualan khas sempena perayaan.

Pada Jelajah Ehsan Rakyat, lebih banyak makanan asas ditawarkan kepada pengguna dengan harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. Contohnya, seekor ayam dengan berat sehingga dua kilogram dijual pada harga RM10.

Minyak masak botol lima kilogram pula berharga RM25. Lebih rendah hampir RM10 berbanding harga
maksimum ditetapkan kerajaan pusat mulai 8 Ogos iaitu RM34.70.

Dengan tawaran harga rendah, ia menjadi pilihan orang ramai berbelanja. Selepas 14 hari dilaksana, RM880,000 penjimatan dinikmati rakyat negeri ini. Jumlah itu sememangnya besar dan boleh digunakan untuk perbelanjaan lain atau simpanan masa depan.

Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua yang menawarkan barangan asas segar dengan harga murah berbanding pasaran di Taman Laksamana Permai, Gombak pada 22 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, lebih 20,000 orang menerima manfaat dalam dua minggu pelaksanaan program itu. Secara purata, 150 pembeli berkunjung ke lokasi dipilih.

“Trak kita akan menjelajah lebih banyak kawasan. Tumpuannya di kawasan penduduk berpendapatan rendah atau B40, kerana kita mahu membantu golongan itu yang terkesan dengan kenaikan harga barang,” ujarnya.

Berlangsung sehingga 6 Disember depan, Jelajah Ehsan Rakyat membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri mengurangkan beban rakyat selaras hasrat mengagihkan kekayaan dengan memperkenal pelbagai inisiatif.

Dalam pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, sebanyak 44 inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang diperkenal.

Jumlah itu belum termasuk pelbagai bantuan di luar program itu dan ketika negeri menghadapi
penularan Covid-19.

Ia selaras semangat mengagihkan kekayaan sejak 2008 dan diperhebat sejak 2018 hingga kini.


Pengarang :