Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bukit Melawati yang menawarkan barangan asas segar dengan harga murah berbanding pasaran di Sasaran Sungai Buloh , Kuala Selangor pada 21 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan barang dapur murah di Bukit Antarabangsa, Batu Tiga esok

SHAH ALAM, 30 SEPT: Program Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Kerajaan Negeri diteruskan di sembilan lagi lokasi esok mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mendapat sambutan masyarakat setempat menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Program dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, Batang Kali, Bukit Antarabangsa, Kuang, Taman Medan, Batu Tiga, Tanjung Sepat, dan Dengkil.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :