Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua yang menawarkan barangan asas segar dengan harga murah berbanding pasaran di Taman Laksamana Permai, Gombak pada 22 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah barangan asas DUN Sungai Tua diterus ke lima lokasi

GOMBAK, 22 SEPT:  Penduduk Sungai Tua yang terlepas Jelajah Ehsan Rakyat sebelum ini masih boleh mendapatkan barangan asas murah di lima lokasi pada hujung minggu ini dan bulan depan.

Pengurus Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua Maimon Mismam berkata inisiatif jualan murah diadakan sempena karnival sukan Kampung Sungai pada Ahad ini, di Flat Laksamana Jaya (30 September) dan di Flat Selayang Mulia (2 Oktober)

Pengurus Pusat Khidmat DUN Sungai Tua Maimon Mismam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Program kemudian akan diteruskan lagi di Sri Batu Caves pada 15 Oktober dan pada minggu ketiga Oktober di Selayang Baru, namun tarikh jualan masih belum diputuskan lagi.

“Pemilihan lokasi jualan di Sungai Tua berdasarkan kedudukan zon Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Kita sudah jalankan di zon enam, tujuh dan lapan.

“Selepas ini di zon lain pula, ini untuk pastikan semua lokasi dapat manfaat jualan murah ini,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Laksamana Permai di sini, hari ini.

Sejak awal bulan ini, Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Sungai Tua telah diadakan di lima lokasi iaitu di Putri Laksamana, Gombak Permai, Taman Jasa Perwira, Padang Awam Batu Caves dan Laksamana Permai.

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan Jelajah Ehsan Rakyat yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut menawarkan harga makanan asas seperti ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.


Pengarang :