Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Melawati di Sasaran Sungai Buloh, Kuala Selangor pada 21 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Jualan murah jimat belanja dapur lebih 1,000 warga Bukit Melawati

KUALA SELANGOR, 21 SEPT: Lebih 1,000 penduduk DUN Bukit Melawati memanfaatkan program Jualan Ehsan Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak awal bulan ini.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahli Dewan Negeri Muhammad Farhan Zulkifli berkata menerusi tujuh siri penganjuran, penduduk dapat membeli ayam, ikan, telur dan beras dengan harga lebih rendah berbanding pasaran.

Pegawai Tugas Khas DUN Bukit Melawati Muhammad Farhan Zulkifli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setiap lokasi mendapat sambutan menggalakkan. Walaupun kaunter dibuka pada jam 9 pagi, namun penduduk sudah menanti lebih awal kerana tidak mahu terlepas peluang membeli barang murah.

“Rata-rata penduduk memuji inisiatif ini dan minta kerap diadakan. Pusat khidmat akan cuba sebaik mungkin membantu penduduk dalam mengurangkan beban belanja,” katanya ditemui di Sasaran Sungai Buloh di sini, hari ini.

Program sehingga jam 1 tengah hari itu berjalan serentak di taman permainan Taman Air Manis, Sabak; tapak pasar Rabu dan pasar Kampung Bukit Permatang serta Pekan Sungai Lima, Pasir Panjang.

Jualan sama turut diadakan di parkir Surau Al Ittifaq, Hulu Kelang; padang Flat Pandan Mewah, Teratai; parkir Balai MPKK, Sementa dan Dewan Jubli Intan, Dengkil.

Inisiatif jualan murah terbabit dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri dengan peruntukan RM10 juta.

Bermula 6 September, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat semalam sejumlah RM880,000 penjimatan dinikmati rakyat negeri ini menerusi program berkenaan.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Melawati di Sasaran Sungai Buloh, Kuala Selangor pada 21 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :