Penduduk beratur untuk mendapatkan barangan asas pada harga murah di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kota Anggerik pada 24 September 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah PKPS jimatkan kos belanja penduduk

SHAH ALAM, 25 SEPT: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) membantu menjimatkan perbelanjaan membeli barangan keperluan harian penduduk.

Suri rumah Haizaratul Mohd Nasir, 47, yang pertama kali membeli barangan dapur di jualan murah tersebut berkata beliau dapat berjimat kira-kira RM30.

“Saya beli beberapa barang seperti ayam, daging dan telur yang jumlah keseluruhannya hanya RM50 sahaja berbanding jika di luar mencecah RM90.

“Alhamdulillah, saya dapat menjimatkan belanja barang dapur dan wang itu boleh digunakan untuk beli keperluan lain,” katanya pada program itu di parkir Taman Tasik Seksyen 7 semalam.

Pesara, Hamdan Johar, 64, berkata usaha Kerajaan Negeri menganjurkan jualan murah kepada rakyat disokong kerana dapat mengurangkan beban terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.

“Saya tahu program ini daripada aplikasi WhatsApp malam tadi (kelmarin) dan ambil keputusan untuk datang beli barangan harian bersama isteri.

“Jualan ini bagus kerana barangan dijual memang diperlukan dan seharusnya diteruskan setiap bulan kerana bantu rakyat khususnya berpendapatan rendah,” katanya.

Program JER bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Menerusi jualan murah ini, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg(RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :