Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Meru di Taman Desa Indah, Meru, Klang pada 18 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah PKPS mudahkan OKU peroleh aneka barangan asas

KLANG, 18 SEPT: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) menyifatkan program Jualan Ehsan Rakyat (JER) yang menjelajah ke taman perumahannya memudahkan individu sepertinya mendapatkan aneka barangan asas.

Mohd Asri Pandak Abdul Samad, 54, mengakui jualan keperluan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Desa Indah, Meru di sini juga murah dan berpatutan.

Mohd Asri Pandak Abdul Samad, 54. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kebetulan dibuat dekat dengan rumah jadi saya datang sebagai tanda sokongan terhadap program ini. Kalau bukan kami (penduduk taman) siapa lagi boleh sokong, apatah lagi kami sendiri boleh dapat manfaatnya.

“Terima kasih PKPS kerana memudahkan orang seperti saya. Alhamdulillah, macam-macam boleh dapat hari ini dengan wang belanja RM70 iaitu ayam, daging, ikan, telur dan beras, kalau beli di luar mungkin cecah RM200,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, suri rumah Norida Asda, 58, berkata dia tidak mahu terlepas mendapatkan barangan asas pada harga murah walaupun bukan penduduk dari taman terbabit.

Norida Asda, 58. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya tahu program ini melalui poster yang dihebahkan melalui media sosial termasuk kawan-kawan. Jadi saya segera datang beli apa yang patut sebab harganya jauh lebih murah dan tidak perlu keluarkan banyak wang untuk berbelanja.

“Program sebegini bagus dan berbaloi untuk rakyat memandangkan sekarang ramai yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Saya harap ia diteruskan dengan lebih kerap bagi menolong penduduk susah,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Kapar.

Pemandu ambulans Mohd Khairul Itam Mohd Samuji, 49, pula tidak menyangka harga produk asas yang ditawarkan dalam program itu jauh lebih murah dan menjimatkan.

Mohd Khairul Itam Mohd Sanuji, 49. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Berbekalkan RM70, saya boleh dapat beras, minyak masak, dua ekor ayam dan daging. Memang terkejut harganya betul-betul murah, contohnya telur di pasaran RM15 sepapan tetapi hari ini hanya RM10.

“Diharap jualan seperti ini diperluas lagi ke kawasan taman perumahan. Saya percaya dengan cara begini dapat membantu ramai rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup,” kata bapa enam anak.

Bermula 6 September hingga 6 Disember, program JER menawarkan barangan makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Enam produk utama dibawakan kepada penduduk membabitkan ayam pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), beras lima kilogram (RM10 per pek) dan minyak masak lima kg (RM25 sebotol).

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan JER yang dilancar sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.


Pengarang :