Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli membantu penduduk membungkus barangan yang dibeli di jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat di Bukit Kuching, Jeram pada 6 September 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah ringankan beban rakyat, ADN mahu tambah lokasi

SHAH ALAM, 7 SEPT: Jualan murah di Jelajah Ehsan Rakyat di Bukit Kuching, Jeram semalam mendapat sambutan luar jangka memandangkan harga barangan asas sangat tinggi di pasaran luar.

Sehubungan itu, wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya akan menambah dua lagi lokasi jualan berkenaan di Kuala Selangor.

“Barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, daging, telur, beras, minyak masak yang dijual murah hasil daripada subsidi kena pada tempatnya dan membuktikan Kerajaan Selangor peka dan prihatin masalah rakyat.

“Insya-Allah kami sentiasa mendengar keluhan rakyat dan akan terus dari semasa ke semasa membantu mempertingkatkan lagi peluang kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya di Facebook.

Orang ramai berpusu-pusu mendapatkan barangan keperluan asas murah di Jelajah Ehsan Rakyat di Bukit Kuching, Jeram pada 6 September 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Sebelum ini, pengurus kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata inisiatif jualan murah itu dibuat dalam program bersama wakil rakyat setempat ke 160 lokasi.

Md Fazir Abdul Latif menganggarkan jualan hingga RM10,000 bagi setiap lokasi membabitkan bekalan 10,000 ayam, 3,100 kg daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B untuk dijual sepanjang program berkenaan.

Pada 25 Julai lalu, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim memberitahu lebih 80,000 rakyat menerima manfaat melalui program berkenaan.


Pengarang :