EXCO Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim (dua,kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (dua,kanan) dan Pengarah Komunikasi Korperat Invest Selangor Berhad Ahmad Khairo Othman bergambar bersama ketika lawatan tapak Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Terminal Skypark, Subang pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jumlah pengunjung pameran udara lebih sasaran, 9,000 individu daftar

SUBANG JAYA, 5 SEPT: Jumlah pengunjung berdaftar Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) kini melebihi sasaran ditetapkan iaitu mencecah 9,000 individu.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sasaran yang ditetapkan ialah 8,000 berbanding tahun lalu 5,000 pengunjung.

“Setakat pendaftaran ditutup hari ini jumlahnya mencecah 9,000 pengunjung, melebihi sasaran ditetapkan 8,000 individu.

“Kita harap jumlah ini akan melebihi 10,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari penganjuran bermula Khamis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau lokasi pameran tersebut di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) di sini hari ini.

Chang Khim turut memaklumkan pihaknya menyasarkan RM700 juta untuk potensi nilai transaksi untuk pameran tahun ini berbanding RM100 juta pada tahun lalu.

“Sebanyak 56 syarikat terlibat pada tahun ini melibatkan 63 pempamer dari sembilan negara iaitu Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.

“Selain itu, jumlah pameran kapal terbang dan helikopter tetap juga mencatat peningkatan sebanyak 29 jenis berbanding 18 pada tahun lalu,” katanya.

SAS 2022 dijadual berlangsung di Skypark RAC bermula 8 hingga 10 September ini.

Antara syarikat mengesahkan penyertaan dalam SAS 2022 adalah Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Edisi pertama SAS diadakan pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.


Pengarang :