EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian (tengah) meninjau kualiti air selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia di bawah inisiatif Friends of River (FoR) daerah Klang di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada 24 September 2022. Foto Facebook LEMBAGA URUS AIR SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kapasiti empangan air Selangor lebih 90 peratus, mampu tampung keperluan rakyat

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kapasiti semua empangan air di Selangor berada pada paras baik iaitu melebihi 90 peratus takungan setakat 21 September, kata EXCO alam sekitar.

Menurut Hee Loy Sian, kadar itu mampu membekalkan air sekurang-kurangnya tiga bulan selain bertahan maksimum sehingga enam bulan tanpa hujan sekali gus cukup untuk kegunaan rakyat.

Beliau menjelaskan kajian turut menunjukkan bekalan sumber air negeri ini mencukupi bagi kegunaan domestik dan perindustrian hingga 2065.

“Pembangunan sistem bekalan berdasarkan kajian ini membabitkan anggaran kos yang tinggi meliputi usaha meningkatkan jumlah kebolehdapatan sumber air.

“Ia termasuk pembangunan bekalan air Sungai Rasau dan pelaksanaan projek Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 3000,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 di bawah inisiatif Friends of River (FoR) daerah Klang di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata isu kualiti sumber air utama negeri sering dipengaruhi insiden pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Akhirnya Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihentikan operasi dan menyebabkan gangguan bekalan air terawat tidak berjadual kepada pengguna,” katanya.

Berhubung sambutan tersebut, beliau berkata ia merupakan acara sangat baik disambut setiap Ahad minggu terakhir September setiap tahun bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung kepentingan sungai.

“Sungai sumber utama yang perlu dipelihara bukan hanya oleh badan berkuasa kerajaan tetapi semua anggota masyarakat dan orang awam kerana ia menjadi bekalan air kepada kita,” katanya.


Pengarang :