Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau lembangan sungai selama 24 jam menjelang Aidilfitri bagi mengelak henti tugas loji rawatan air. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

Kawal pelepasan sisa elak pencemaran sumber air

SHAH ALAM, 23 SEPT: Penggiat industri digesa mengawal pelepasan sisa premis bagi mengelakkan insiden yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjelaskan langkah itu juga bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai negeri berterusan untuk kelangsungan bekalan air bersih.

“Kerajaan Negeri dan LUAS juga menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutama sungai dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air,” menurut agensi itu di Facebook.

Agensi itu turut menggalakkan masyarakat mengadakan gotong-royong dan pembersihan sungai secara berkala bagi melindungi sungai dan sumber air secara berterusan.

Bermula November 2020, LUAS enggunakan dron berteknologi tinggi dengan spesifikasi industri bagi memantau kawasan sensitif sumber air untuk mengelakkan risiko pencemaran.

Peralatan canggih dikendali syarikat Aerodyne Geospatial Sdn Bhd bagi memantau 31 kawasan berisiko di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih sepanjang masa.


Pengarang :