Longgokan sampah haram yang berjaya dikutip KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam operasi pada 15 September 2022. Foto Facebook KDEBWM
AGENSIBERITA UTAMAPBTSELANGOR

KDEBWM, MPHS buat pembersihan, kutip hampir 80 tan sampah haram

SHAH ALAM, 23 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip 78.38 tan sampah haram dalam operasi pembersihan selama sembilan hari bermula 13 September lalu.

Agensi itu memaklumkan operasi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) diadakan di kawasan Perindustrian Kenanga, Bukit Beruntung, Rawang.

“Sebanyak 33 unit tong roro daripada KDEBWM dan dua backhoe MPHS disediakan sepanjang proses pembersihan sampah dijalankan.

“Hasil operasi itu, sejumlah 78.38 tan sampah dapat dikumpulkan dan diangkut. Bersamalah kita menjaga kebersihan alam sekitar dan cakna tentang isu pembuangan sampah haram,” katanya menerusi Facebook.

KDEBWM turut mempelawa orang ramai membuat aduan menerusi aplikasi iClean Selangor jika berlaku kejadian sama di kawasan mereka.

Aplikasi itu boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, selain pengguna boleh menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp menerusi 019-274 2824.


Pengarang :