Kakitangan KDEBWM, LHDN dan JPNS menanam pokok bakau di Teluk Rhu, Sungai Apong, Sabak Bernam yang terletak di Hutan Simpan Kuala Bernam pada 7 September 2022. Foto KDEBWM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDEBWM tanam 500 pokok bakau di Hutan Simpan Kuala Bernam

SHAH ALAM, 8 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menanam sebanyak 500 pokok bakau di Teluk Rhu, Sungai Apong, Sabak Bernam yang terletak di Hutan Simpan Kuala Bernam semalam.

Aktiviti hasil kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan 60 kakitangan dan pegawai ketiga-tiga agensi.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata inisiatif itu bertujuan memastikan kelestarian ekosistem selari dengan matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Penanaman pokok bakau perlu dilaksanakan kerana pokok tersebut mampu berperanan untuk mencegah hakisan dan memelihara ekosistem demi kehidupan generasi akan datang.

“KDEBWM berbesar hati menyumbang pembelian sebanyak 500 anak pokok bakau dalam usaha merealisasikan program ini. Pokok bakau juga berperanan dalam memperkukuhkan dan memperkayakan sumber nutrien tanah yang penting untuk ekosistem,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam Azman Dahlan; Pengarah LHDN Selangor Kamarudin Hashim dan Penolong Pengarah Kanan Seksyen Silvikultur Dan Perlindungan Hutan JPNS Gana Raj Katharayan.

Tambah Ahmad Rizal pihaknya turut meletakkan papan tanda larangan membuang sampah bagi memastikan kebersihan di kawasan hutan simpan berkenaan.


Pengarang :