AGENDANASIONAL

KEADILAN rangka tujuh langkah atasi kes tipu, cadang ubah sistem pengesahan

SHAH ALAM, 19 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mencadangkan tujuh langkah kepada kerajaan dalam menangani penipuan siber termasuk mengubah sistem pengesahan perbankan dalam talian bagi mengelak lebih ramai tertipu.

Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil berharap langkah berkenaan dapat dilaksana segera bagi membantu memastikan duit simpanan rakyat kekal selamat dan kepercayaan rakyat terhadap sistem perbankan dalam talian tidak luntur.

“Setiap tahun secara purata 20,000 orang menjadi mangsa jenayah ini dan lebih RM660 juta dicuri oleh scammer-scammer (sindiket penipuan siber) ini.

“Malangnya sehingga ke hari ini, kita belum melihat atau mendengar langkah-langkah Kerajaan yang mampu mengurangkan jumlah kes scammer dalam negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikut intipati tujuh cadangan yang dikemukakan:

  • wujudkan pusat sehenti bantuan mangsa scammer melibatkan agensi-agensi berkaitan sekurang-kurangnya di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, serta satu pusat koordinasi anti-scammer pelbagai agensi berpangkalan di Bank Negara Malaysia
  • ubah sistem pengesahan bagi perbankan dalam talian (online banking) iaitu dari SMS TAC kepada sistem yang lebih selamat dan tepat identiti
  • wujudkan mekanisme pampasan seperti Dana Pemulihan (Recovery Fund) agar mangsa scammer yang disahkan akan dapat bantuan pampasan sebaik mungkin, serta meminda akta-akta berkaitan
  • arahkan semua syarikat telekomunikasi melalui Suruhanjaya komunikasi Multimedia Malaysia buat hebahan khidmat awam melalui panggilan telefon
  • wajibkan bank dan institusi kewangan lain nyatakan kes penipuan dan jumlah yang dicuri dalam laporan tahunan untuk pengetahuan pemegang saham dan orang ramai
  •  adakan perbincangan segera dengan pengusaha platform digital media sosial yang paling kerap disalahguna oleh scammer
  • kenal pasti, tahan dan dakwa di mahkamah mereka yang terlibat buat panggilan, menempat atau melindung serta merancang aktiviti scammer, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol

 

 


Pengarang :