Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 Peringkat Negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara, Petaling Jaya pada 17 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN Selangor belum putus calon, tumpu tangani isu banjir dan ekonomi

PETALING JAYA, 17 SEPT: Senarai calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) belum diputuskan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor berkata pihaknya sedang menumpukan usaha menangani isu banjir dan ekonomi negeri berbanding PRU.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri kini sedang menumpukan kepada usaha mengatasi masalah banjir dan ekonomi. Memang pilihan raya jadi keutamaan, tapi kita letak 30 peratus (keutamaan).

“Tidak mengapa kalau ada orang mahu sibuk buat (PRU), tetapi kita ada tanggungjawab untuk selesaikan hal ini (banjir dan ekonomi),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika diminta mengulas persediaan PRU di Selangor.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Selangor di Taman Eko Ara Damansara dekat sini hari ini.

Pada 7 September, Ketua Penerangan KEADILAN Fahmi Fadzli berkata agihan kerusi membabitkan parti komponen Pakatan Harapan masih dalam perbincangan dengan jangkaan selesai dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

Menurutnya, selepas keputusan dicapai pimpinan parti gabungan bebas untuk mengumumkan senarai calon PRU15 masing-masing.


Pengarang :