Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN Selangor siap siaga sukarelawan hadapi banjir

SHAH ALAM, 24 SEPT: Sukarelawan Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Selangor bersiap siaga menghulur bantuan bagi menghadapi kemungkinan banjir penghujung tahun ini.

Pengarah Komunikasinya berkata parti itu akan menggerakkan kekuatan anggota di 22 cabang seluruh negeri bagi meringankan tugas agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Azmizam Zaman Huri sukarelawan terlibat akan membantu mengagihkan bekalan keperluan asas kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) selain membersihkan kediaman yang terjejas.

“Bencana banjir yang melanda Disember 2021 banyak memberi iktibar perlunya persediaan rapi bagi menghadapi impak pasca banjir.

“Keadaan ketika itu cukup menginsafkan dan menuntut persediaan rapi bagi mengelakkan berlakunya situasi tidak diingini terutama berkaitan mobilisasi agensi berkaitan dalam memindahkan mangsa banjir ke PPS dan bantuan selepas air surut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyambut baik pengumuman Dato’ Menteri Besar untuk memberi peruntukan khas bagi menambah peralatan seperti bot, jentera dan petugas sebagai persediaan banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga berkata akan pihaknya akan mengadakan latihan simulasi bencana banjir selama dua hari bermula minggu depan.

“KEADILAN Selangor melihat langkah ini cukup tepat dan membuktikan Kerajaan Negeri mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kegilaan sesetengah parti politik yang rakus merebut kuasa mendesak pilihan raya diadakan secepat mungkin,” tambahnya Azmizam.


Pengarang :