AGENDANASIONAL

Kenal dalam penjara, banduan komplot jenayah selepas bebas

SHAH ALAM, 26 SEPT: Empat lelaki yang berkenalan dalam penjara sepakat melakukan jenayah samun kenderaan sebagai sumber pendapatan selepas selesai menjalani hukuman.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan Geng Angah terbongkar selepas polis menahan semua suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun dalam serbuan minggu lalu, lapor Berita Harian.

Ketua polis daerah Serdang berkata pihaknya sebelum itu menerima laporan samun dan melarikan kereta Honda City di hadapan sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya pada 20 September.

“Mangsa mendakwa didatangi tiga lelaki menaiki Proton Persona bersenjatakan parang. Suspek mengarah mangsa keluar daripada kereta lalu melarikan kereta itu menyebabkan mangsa rugi RM80,000.

“Hasil maklumat dan risikan, polis menahan empat lelaki di sekitar Dang Wangi dan Petaling Jaya,” kata Asisten Komisioner A A Anbalagan dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas lapan telefon bimbit, empat beg silang, komputer riba, rantai emas, parang, kereta Persona, Honda City dan Hyundai Sonata bernilai RM250,000.

Anbalagan berkata suspek yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu melakukan jenayah
menggunakan kereta sewa bercermin gelap dan menyasar mangsa di kawasan parkir.

Semua suspek yang juga positif dadah methamphetamine direman lima hari sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Pengarang :