Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat keadaan longkang ketika meninjau projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri tambah pam air, bina kolam takungan sementara di Taman Melawis

KLANG, 10 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera dengan menambah bilangan pam air, membersih laluan sungai dan membina kolam takungan sementara di Taman Melawis di sini bagi mengelak banjir buruk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu berikutan fenomena air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh terdekat selain projek naik taraf saliran dan tebatan banjir di kawasan itu masih berjalan.

“Sebahagian punca disebabkan ekosistem yang menyeluruh di mana kawasan perumahan ini dibina pada tahun 60-an dan sekarang dikelilingi pembangunan yang rancak. Jadi pengaliran air itu bertambah dan lebih memburukan keadaan berlaku air pasang besar dan hujan yang tinggi.

“Apa yang boleh kita lakukan sekarang dengan menambah jumlah pam, membersih laluan untuk elak air bergerak perlahan dan buat kolam takungan sementara,” katanya ketika melawat kawasan berkenaan hari ini.

Amirudin berkata projek naik taraf saliran dan tebatan banjir  di kawasan berkenaan bermula pada April lalu dan dijangka siap pada April 2024.

“Projek seperti ini mengambil masa yang lama serta kos yang tinggi seperti pengambilalihan utiliti. Walaupun jarak yang diambil hanya 1.2 kilometer tetapi kosnya mencecah RM16 juta.

“Sebab pengalihan elektrik, air dan sebagainya ini memberi kesan yang besar, lebih-lebih lagi taman ini bersebelahan landasan keretapi yang menggunakan jajaran elektrik yang tinggi,” katanya.


Pengarang :