Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli ditemu bual Media Selangor di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerusi tanpa kawasan bolehkan ramai wanita jadi wakil rakyat

SHAH ALAM, 30 SEPT: Cadangan melaksana kerusi tanpa kawasan (non constituency seats) membolehkan lebih ramai wanita dilantik wakil rakyat tanpa melalui proses pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli berkata Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor perlu dipinda terlebih dahulu seperti dilakukan Sabah dan Terengganu.

“Kerusi tanpa kawasan memang tidak asing lagi, banyak negara sudah laksanakan misalnya New Zealand, manakala yang paling dekat dengan kita adalah Sabah dan Terengganu.

“Sekiranya Selangor mahu laksanakan, kita harus pinda dahulu undang-undang berkenaan untuk mengetengahkan lebih ramai wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini kerana apabila dalam PRU, ia sesuatu di luar kawalan kita. Mungkin 50 wanita bertanding, tetapi kita tiada kuasa tentukan siapa yang menang kerana sistem demokrasi negara memerlukan pengundi untuk memilih,” katanya.

Bercakap dalam sebuah program bual bicara di YouTube Media Selangor kelmarin, Juwairiya yang juga wakil rakyat Bukit Melawati berkata kaedah itu turut meraikan kepelbagaian latar belakang politik, gender dan segmen masyarakat.

“Jika di peringkat Parlimen juga ingin laksanakan, sudah pasti Perlembagaan Malaysia perlu dipinda. Saya percaya kaedah ini sebenarnya untuk memperluas perwakilan yang melangkaui parti politik.

“Namun sudah pasti mana-mana kerajaan mahukan kerusi majoriti, kerajaan yang kuat mewakili semua dalam kalangan mereka tetapi ruang ini membolehkan perwakilan daripada parti-parti lain untuk menyumbang kepada negeri dan negara,” katanya.


Pengarang :