Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun terhadap Datin Seri Rosmah Mansor selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes Rosmah: Rasuah perlu dibendung sebelum jadi ‘pandemik’

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, yang mensabitkan Datin Seri Rosmah Mansor hari ini dengan pertuduhan rasuah, berkata kes sedemikian sudah meresapi hampir setiap lapisan masyarakat dan perlu dibendung sebelum menjadi pandemik.

Dalam penghakiman setebal 116 halaman, Mohamed Zaini berkata jika rasuah dibiarkan tanpa sebarang kekangan, masyarakat di negara ini akan menerimanya sebagai satu kebiasaan dalam hidup atau dunia perniagaan.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman selepas mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

“Saya telah mengambil kira faktor rayuan yang dikemukakan oleh peguam yang bijaksana serta respons pihak pendakwaan. Pertimbangan utama dalam memutuskan hukuman yang sesuai ialah kepentingan awam.

“Hukuman harus menggambarkan rasa tidak senang atau jijik terhadap jenayah itu. Hukuman juga mestilah mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Ia juga hendaklah menjadi faktor pencegah kepada tertuduh dan orang lain daripada melakukan jenayah seperti ini,” katanya.

Mohamed Zaini berkata hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 26(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 diperuntuk di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16, 17, 20, 21, 22 dan 23 hendaklah apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Beliau berkata hukuman yang diperuntuk di bawah seksyen itu adalah berat yang menandakan keseriusan kesalahan rasuah.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1).

“Justeru, tertuduh dihukum penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak. Hukuman bermula dari tarikh penghakiman.

“Hukuman berjalan serentak kerana kesalahan yang dilakukan berkait rapat antara satu sama lain. Tertuduh juga didenda sebanyak RM970,000,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, atau penjara 10 tahun,” katanya.

Mohamed Zaini juga berkata peguam Rosmah telah menyatakan bahawa mereka akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan meminta agar hukuman penjara serta denda ditangguhkan yang tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

“Oleh itu, saya menangguhkan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan selesai.

“Jaminan RM2 juta yang dibuat sebelum ini dilanjutkan dengan syarat yang sama sehingga rayuan selesai,” katanya.

Ketika ditemui pemberita, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata denda yang dikenakan “belum pernah terjadi” dan merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah perundangan Malaysia.

“Siapa yang mampu membayar denda hampir RM1 bilion?… Anak guam saya tidak mempunyai sebarang punca pendapatan. Adakah ini yang kita sifatkan sebagai keadilan?” katanya.

Jagjit berkata beliau akan memfailkan rayuan esok.

— BERNAMA

 


Pengarang :