Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar melancarkan Buku Tunku Kelana Penuh Cinta sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kisah hidup Tunku Abdul Rahman wajar dibaca segenap lapisan masyarakat

SHAH ALAM, 11 SEPT: Buku biografi perdana menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj wajar dijadikan bahan bacaan wajib seluruh masyarakat terutama golongan muda.

Pengerusi lembaga penasihat editorial Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) berkata naskah Tunku: Kelana Penuh Cinta sangat terperinci dalam menceritakan perjalanan hidup Abdul Rahman termasuk pengisian kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar berucap sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Buku ini ada tiga bahagian dan sembilan bab yang menceritakan latar belakang, pembabitan politik, memimpin UMNO dan kekecewaannha menjadi warga biasa yang luar biasa.

“Naskah ini mudah untuk memahami almarhum dan lebih penting untuk menilai siapa dirinya. Ini kisah negarawan ulung yang meletakkan dedikasi atas segala-galanya,” kata Tan Sri Johan Jaaffar ketika melancarkan buku terbabit malam tadi.

Pelancaran dilakukan sempena malam Hadiah Sastera Selangor 2021 di Hotel Saujana Kuala Lumpur, dekat sini, yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Turut hadir Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

Karya Kobkua Suwannathat-Pian setebal 410 muka surat itu merupakan buku terjemahan hasil kerjasama strategik MSSB dan Inisiatif Buku Darul Ehsan.

Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut melancarkan tiga lagi buku iaitu Si Pena V yang menghimpunkan karya pemenang anugerah 2020 dan 2021.

Manakala dua naskah lagi bertajuk Gelagat dan Ragam Orang Melayu coretan Frank Swettenham dan Sejarah Selangor 1766-1939 karangan J. M. Gullick.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) dan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :