Petugas kesihatan menunjukkan dos vaksin yang akan disuntik kepada Muhamad Amsyar Syamsul, 9, di pusat pemberian vaksin (PPV) IDCC Shah Alam pada 15 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM tawar vaksin kepada bayi enam bulan dengan imunisasi lemah

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan vaksin untuk kanak-kanak dari usia enam bulan hingga lima tahun dengan komorbiditi atau imunisasi lemah.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata syor tersebut diputuskan oleh Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) KKM pada 3 September lalu setelah berbincang lebih sebulan.

“Pemberian ini agak spesifik dan TWG tidak menawarkan kepada semua tetapi hanya untuk kanak-kanak mempunyai imunisasi lemah sahaja.

“Oleh demikian, KKM akan beri vaksin dengan formulasi khusus untuk kumpulan kanak-kanak ini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Khairy memaklumkan kerajaan juga mempertimbang supaya negara beralih ke fasa endemik bergantung keadaan semasa mutasi Covid-19.

“Kalau kita dapati dalam tempoh beberapa bulan untuk setahun ini varian-varian baru yang menyebabkan penyakit Covid-19 tidak serius, akan pertimbang untuk masuk ke fasa endemik.

“Selain itu, kita juga pertimbang untuk beli vaksin untuk varian Omicron dan yang baharu, cuma daripada segi program imunisasinya belum lagi diputuskan,” katanya.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara memasuki fasa peralihan endemik dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan KKM serta meneliti syor daripada menteri kuartet.

Fasa tersebut ialah strategi keluar untuk membolehkan semua kembali kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19.


Pengarang :