Penjual Mohd Arif Aiman Ahmad Azli sedang menyusun telur ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Kekurangan bekalan telur, ayam bersifat sementara

KUALA NERUS, 25 SEPT: Kekurangan bekalan telur ayam di beberapa kawasan di seluruh negara baru-baru ini hanya bersifat sementara dan berjaya diselesaikan dalam waktu yang singkat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata masalah teknikal seperti penghantaran lambat dan pesanan tidak dibuat mengikut waktu sepatutnya, dikenal pasti menjadi punca masalah tersebut.

“Memang baru-baru ini ada kekurangan bekalan telur ayam di beberapa kawasan seperti Langkawi, Hulu Terengganu dan Jerantut, tetapi penguat kuasa kita segera turun menyiasat selepas mendapat maklumat.

“Masalah yang berlaku berjaya diselesaikan dengan cepat hasil kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Contohnya, jika aduan kehabisan telur pada sebelah pagi, sebelah petang dah ada bekalan balik, tidak berlaku dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mneninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Seberang Takir di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.

Sementara itu, Azman berkata pelaksanaan PJMKM di 2,000 lokasi seluruh negara berjaya memberi manfaat kepada 3.4 juta rakyat berpendapatan rendah.

Menurutnya program itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang meningkat.

“Setakat 31 Julai lepas rekod jualan seluruh negara ialah RM63 juta, manakala di Terengganu sahaja setakat 18 Sept lepas adalah RM2.5 juta.

“Saya juga difahamkan di Terengganu setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diperuntukkan RM25,000 sebulan untuk pelaksanaan PJMKM dua kali sebulan bagi tempoh 15 Ogos hingga Disember depan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :