Nurul Amira Suhaimi, 27, mendapatkan bekalan minyak masak di sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDNHEP, platform e-dagang bekerjasama bendung penjualan minyak masak dalam talian

PUTRAJAYA, 21 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan beberapa penyedia platform e-dagang tempatan dalam usaha membendung aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata hasil kerjasama dengan penyedia platform seperti Shopee, Lazada dan Mudah.my, sebanyak 121 iklan penjualan minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun sejak awal tahun ini hingga Isnin lepas.

Selain itu, beliau berkata bagi tempoh sama, 55 pemeriksaan dilakukan KPDNHEP di seluruh negara berhubung aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian.

Menurutnya, tiga tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,564.90.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah berurus niaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman turut meminta masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual.

– BERNAMA


Pengarang :