Kerja penyelengaraan tapak Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Terminal Skypark, Subang pada 5 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lapangan Terbang Subang bakal jadi pusat penerbangan perniagaan

SUBANG JAYA, 5 SEPT: Lapangan Terbang Subang di sini bakal menjadi pusat penerbangan perniagaan dalam tempoh dua tahun, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata setakat ini, dua syarikat besar menggunakan lapangan terbang itu syarikat tempatan Dviation Group of Companies dan Dassault Aviation.

“Semua pesawat dibuat Dassault Aviation akan datang ke lapangan terbang ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki. Begitu juga Dviation membawa jet peribadi mereka untuk diselenggara di lapangan terbang ini.

“Ini adalah kejayaan besar Kerajaan Negeri untuk menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai pusat penerbangan perniagaan dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi pameran tersebut di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Pada masa sama, Chang Khim berkata Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) menjadi medium untuk menguar-uarkan Lapangan Terbang Subang sebagai pusat penerbangan perniagaan.

“Dengan penganjuran program seperti ini, ia akan lebih dikenali di arena antarabangsa khususnya dalam industri penerbangan.

“Kita yakin lebih banyak lagi syarikat-syarikat akan datang menyertainya dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

SAS 2022 dijadual berlangsung di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) bermula 8 hingga 10 September ini.

Antara syarikat mengesahkan penyertaan dalam SAS 2022 adalah Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.


Pengarang :