Helikopter model 9M-IMW milik Systematic Aviation Services Sdn Bhd yang digunakan bagi aktiviti ‘joyride’ sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam ketika tinjauan pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 1,000 pengunjung buat tempahan bersiar dengan helikopter

SHAH ALAM, 9 SEPT: Aktiviti bersiar menaiki helikopter atau ‘joyride’ yang pertama kali diperkenalkan pada Pameran Udara Selangor (SAS) mendapat sambutan hangat pengunjung.

Ketua pegawai eksekutif Systematic Aviation Services Sdn Bhd berkata lebih 1,000 tempahan diterima sejak dibuka pada hari pertama pameran semalam hingga esok.

Menurut Ida Adora Asha’ari Ismail, pengunjung berpeluang menaiki helikopter selama 10 minit sambil menikmati pemandangan bandar raya ini dengan bayaran RM200 bagi setiap tempat duduk.

“Kita menyediakan tiga helikopter pada pameran kali ini dengan dua daripadanya untuk aktiviti ini (joyride). Semalam, sebanyak 20 penerbangan dilakukan kepada pelawat perdagangan yang membuat tempahan.

“Setakat ini semua tempahan sudah penuh, tetapi kita cuba sedaya upaya memenuhi permintaan orang awam terutama pada hari terakhir esok,” katanya ditemui di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark di sini hari ini.

Pemandangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dari ruang udara yang sempat dirakam lensa SelangorKini ketika menyertai aktiviti menaiki helikopter ‘joyride’ sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, sekumpulan pengamal media termasuk SelangorKini diberi peluang merasai pengalaman menaiki helikopter model 9M-IMW yang diterbangkan melalui kawasan i-City, Stadium Shah Alam dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ida Adora menambah tiada had umur dikenakan terhadap pengunjung yang mahu menyertai acara terbabit.

“Kita harus menyokong setiap perkara yang ditawarkan oleh Kerajaan Selangor melalui SAS. Jadi kita memilih untuk mengadakan aktiviti ini bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat pemandangan dari ruang udara,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan SAS 2022 menampilkan aktiviti ‘joyride’ sebagai tarikan kepada pengunjung.

Pameran selama tiga hari disertai 63 pempamer dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.


Pengarang :