Hujan tidak menghalang orang ramai membeli barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Laksamana Permai, Gombak pada 22 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 1,700 warga DUN Sungai Tua nikmati manfaat jualan murah PKPS di lima lokasi

GOMBAK, 22 SEPT: Lebih 1,700 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menikmati manfaat program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di lima lokasi sejak awal bulan ini.

Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Maimon Mismam berkata jualan di Putri Laksamana, Gombak Permai, Taman Jasa Perwira, Padang Awam Batu Caves dan Laksamana Permai berjalan lancar.

Pengurus Pusat Khidmat DUN Sungai Tua Maimon Mismam

“Alhamdulilah jualan berjalan lancar di empat tempat sebelum ini cuma di sini (Laksamana Permai) hari ini sedikit perlahan kerana hujan lebat tetapi masih ramai yang datang untuk membeli,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata berdasarkan jualan sebelum ini, jualan ayam dan telur mendapat permintaan yang tinggi dan habis terjual dalam tempoh sejam.

“Produk lain pun ‘sold out’ juga bagi setiap program yang diadakan, di sini kita dapat lihat orang ramai mengambil peluang mendapatkan barangan dengan harga yang lebih murah dari pasaran,” katanya.

Hujan tidak menghalang orang ramai membeli barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Laksamana Permai, Gombak pada 22 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk meneruskan program tersebut di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Program itu menumpukan jualan enam jenis barangan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.


Pengarang :