Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 2,000 pelawat hadir Pameran Udara Selangor pada hari pertama

SHAH ALAM, 9 SEPT: Lebih 2,000 pelawat perdagangan mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 pada hari pertama semalam, dengan rata-ratanya memberi maklum balas positif.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad berkata pelawat perdagangan tempatan dan antarabangsa teruja dengan edisi kedua penganjuran di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark di sini yang menyediakan ruang pameran lebih besar serta banyak pesawat.

“Alhamdulillah kebanyakannya memberi reaksi positif dengan mengatakan bahawa pameran kali ini sangat baik memandangkan banyak syarikat industri penerbangan dan aeroangkasa turut serta berbanding tahun lepas.

“Banyak perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai sepanjang dua hari antaranya Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (Selati), Volar Mobility, Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Akademi Penerbangan GIAAN dan Davinci Gliders,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris hari ini.

Bermula tahun lalu, Selangor menganjurkan SAS bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

SAS 2022 berlangsung dari semalam hingga 10 esok disertai 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Pempamer terdiri dari Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.

Kerajaan Selangor menyasarkan potensi nilai transaksi RM1 bilion membabitkan pemeteraian 24 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa.

 


Pengarang :