Pemain Johor Darul Ta’zim Bergson Gustavo Silveira Da Silva (kanan) cuba mengasak pemain Selangor FC Ahmad Zikri Mohd Khalili (kiri) pada perlawanan bola sepak Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 3 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Liga Super: Selangor FC kongsi mata dengan JDT

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang tiga mata penuh bagi memperkukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super terbantut selepas terikat seri 1-1 dengan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Selaku pelawat, JDT dibimbing Hector Bidoglio bagaimanapun pada mulanya selesa mendahului menerusi gol penalti dijaringkan Bergson Da Silva pada minit ke-33.

Babak pertama perlawanan kemudian mempamerkan asakan bertali arus skuad Merah Kuning cuba mencari gol penyamaan, namun gagal menggoncangkan kubu pertahanan JDT sehingga wisel separuh masa pertama ditiup.

Memasuki babak kedua perlawanan, kegembiraan JDT bagaimanapun tidak bertahan lama apabila giliran Selangor memecah kebuntuan pasukan mereka menerusi jaringan pemain import Brazil, Herlison Caion pada minit ke-65.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal membuat sebarang jaringan tambahan sehingga wisel separuh masa kedua ditiup.

Di Kuala Nerus, Terengganu FC (TFC) berpesta gol membenam Melaka United 5-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pasukan tuan rumah mendominasi permainan terlebih dahulu meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-16 menerusi Kpah Sherman yang menanduk cantik bola hasil hantaran lintang pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu kembali meneruskan asakan dan berjaya mencetak gol kedua pada minit ke-61, menerusi Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim sebelum kapten pasukan, Kipre Tchetche menambah jaringan ketiga lima minit kemudian.

Pada minit ke-75, Tchetche menambah derita lawan apabila meledak gol keempat pasukan sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-80.

Pada aksi Liga Premier, Skuad Projek FAM-MSN menundukkan PDRM FC 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sementara Perak FC dihumban ke tangga terakhir liga selepas tewas 1-2 menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

– BERNAMA


Pengarang :