Keadaan di sekitar Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek yang dinaiki air akibat daripada hujan lebat ketika tinjauan pada 10 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lima daerah di Selangor, KL diramal hujan lebat hingga 5 petang

SHAH ALAM, 28 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 5 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka berlaku di negeri ini di daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang serta seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Situasi sama diramal di Perak melibatkan Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim; Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), Melaka (Alor Gajah dan Jasin) serta Johor (Tangkak, Segamat dan Mersing).

Sarawak pula di Kuching (Bau dan Lundu), Sri Aman (Sri Aman), Sarikei (Julau) dan Sibu (Kanowit) serta Sabah di Tawau (Lahat Datu) dan Sandakan (Kinabatangan).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :