Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua,kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman (kanan) melawat galeri selepas melancarkan buku mewah (coffee table book) mengenai agensi perkhidmatan air itu di One Utama, Petaling Jaya pada 13 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LRA Sungai Rasau siap 2025, tampung keperluan air luar jangka

PETALING JAYA, 13 SEPT:  Loji rawatan air (LRA) Sungai Rasau, Klang yang dijangka siap pada 2025 mampu mengurangkan risiko gangguan bekalan pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata LRA yang didirikan dengan ekosistem lebih sistematik itu membolehkan rizab bekalan air mencukupi meskipun berlaku masalah pencemaran .

“Ini bermakna kalau satu sumber air terganggu, ia boleh dibantu dengan bekalan dari loji lain. Sekarang (sumber air) menggunakan proses sehala, sebab itu apabila satu loji ditutup, beri kesan kepada ramai pengguna.

“Apabila LRA Rasau siap dengan sistem dan kaedah baharu, ia tampung masalah dan mengurangkan jumlah pengguna terjejas. Kita harap kerajaan persekutuan juga ambil pendekatan mengurangkan masalah gangguan bekalan,” katanya.

Beliau berucap ketika melancarkan buku mewah (coffee table book) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam memberi khidmat bekalan air sepanjang tiga tahun penubuhannya.

Majlis berlangsung di pusat beli belah One Utama turut dihadiri Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman.

Pada Ogos, Ketua Operasi Air Selangor Ir Abas Abdullah berkata LRA Rasau dibina dengan kaedah takungan air pinggiran sungai (TAPS) membabitkan peruntukan RM3 bilion dan boleh menghasilkan kapasiti sejumlah 1,400 liter air sehari.

Kaedah sama turut diaplikasikan di tiga lagi loji iaitu di LRA Semenyih 2, Labohan Dagang serta Sungai Labu.


Pengarang :