Peserta yang hadir ketika pelancaran Bulan Pembebasan Riqab di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 1 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais bantu individu alami masalah sosial, akidah kembali kepada ajaran Islam sebenar

SHAH ALAM, 2 SEPT: Jawatankuasa Riqab Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membantu 160 individu mengalami masalah sosial dan kalangan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) kembali kepada fitrah serta ajaran Islam yang sebenar.

Jawatankuasa Riqab Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Hashim Meon berkata bantuan diberikan daripada segi program mingguan peningkatan akidah dan kursus oleh kaunselor yang memberi khidmat nasihat.

“Bantuan bimbingan diberikan kepada golongan ini sudah lama, bukannya baharu. Ini bertujuan supaya mereka kembali pulih dan mengikut ajaran Islam sebenar. Alhamdulillah, program dianjurkan memberi hasil dan perubahan,” katanya.

Beliau ditemui selepas pelancaran kempen Bulan Pembebasan Ar-Riqab di Hotel Mardhiyyah di sini yang turut dihadiri Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar, semalam.

Sementara itu, Hashim turut menjelaskan antara masalah sosial lain yang serius ditangani di rumah pemulihan asnaf raqib ialah penyalahgunaan dadah, ajaran sesat dan terlanjur.

“Semua masalah ini kita perlu bantu kerana semakin jauhkan diri, mereka akan terus tersesat sedangkan kita mahu membawa ke arah kebaikan.

“Kita juga merancang untuk memasukkan kategori masalah kesihatan mental dalam salah satu penerima asnaf raqib. Mereka ini layak dibantu dengan menerima RM1,250 sebulan kerana perlukan rawatan perubatan,” katanya.


Pengarang :