Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga menganjurkan program dakwah kepada golongan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) yang berlangsung pada 24 hingga 26 Jun 2022. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais: Wanita bermasalah sosial diajak sertai program pemulihan, asrama disedia

SHAH ALAM, 26 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerusi Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan bersedia membantu golongan wanita terjebak gejala sosial dan akidah untuk menjalani pemulihan.

Agensi itu memaklumkan pusat perlindungan tersebut menyediakan kemudahan asrama, taska, bilik perubatan, bilik dobi, bilik lawatan keluarga, perpustakaan dan kawasan riadah dengan pelbagai aktiviti kerohanian.

“Jangan buntu jangan keliru, insya-Allah kami cuba bantu. Hubungi kami segera,  kami sedia menghulur bantuan pemulihan.

“Baitul Ehsan menguruskan perkhidmatan perlindungan, pemulihan dan kaunseling kepada kumpulan wanita dan gadis yang terjebak dengan gejala sosial dan akidah,” katanya di Facebook.

Mais memaklumkan syarat kemasukan perlulah secara sukarela dengan pemohon perlu beragama Islam, pemohon atau ibu bapa dilahirkan di Selangor, masalah akidah berlaku di negeri ini serta berusia 13 tahun ke atas.

“Pemohon perlu membuat laporan polis yang memaklumkan hasratnya untuk menjalani pemulihan di rumah pemulihan majlis secara sukarela dan membuat akuan sumpah di hadapan pesuruhjaya sumpah.

“Selain perlu mengemukakan laporan perubatan terkini dan tiada rekod kesihatan mental,” katanya.

Mereka yang ingin memohon boleh hubungi 03-32161286 atau dapatkan maklumat lanjut di www.mais.gov.my atau email kepada [email protected].


Pengarang :