BUDAYARENCANA

Makhluk asing bernama bahasa

Oleh Lokman Hakim

Malam menanggalkan bahasa dari tubuh. Tidak pernah aku merasakan diriku begitu manusiawi. Euforia ini aneh dan tiada bahasa mampu mengungkapkan darjah ketulenan seorang manusia seperti yang dirasai kini. Lalu apakah maknanya semua ini?

Sukar untuk aku ungkapkan keberadaan tanpa bahasa ini kepada kalian yang masih terikat pada bahasa. Aku punya kenyataan penting iaitu: MAKHLUK ASING BERNAMA BAHASA SUDAH MENAKLUK KITA SEKIAN LAMA. Dan suatu perkara yang jauh lebih penting adalah aku sudah berhasil membebaskan diri daripada taklukan bahasa yang begitu sebati dengan kewujudan kita selama ini.

Dengan menggunakan fragmen demi fragmen bahasa yang berkecai ketika aku terhempas dari ketinggian 50 meter, aku cuba menjelaskan bagaimana aku masih hidup dan menemukan hakikat kewujudan bahasa yang sekian lama membayangi kehidupan setiap insan di dunia ini.

Tidak seperti nafas, bahasa itu suatu yang asing. Namun sukar untuk kita melihat keterasingannya dek kerana sifat kewujudan yang begitu halus melekap setiap inci kehidupan kita. Sedari lahir lagi, bahasa telah menanam benihnya dalam peti suara kita lalu menyusun pemikiran agar selari dengan setiap tona suara yang dilontarkan. Namun ia tidak selamanya begitu. Aku sudah mengesyaki keterasingan suara daripada bahasa yang cuba menakluknya sejak beberapa hari sebelum tubuhku terhempas. Berlandaskan syak wasangka yang kian menebal, aku cuba mengasingkan bahasa secara harafiah daripada kehidupanku. Ia agak sukar. Tatkala kalian membaca catatanku ini ia sudah membuktikan betapa aku memerlukan bahasa untuk memberitahu bahawa bahasa adalah makhluk asing dalam kehidupan kita. Jujur ingin aku katakan kita perlu keluar daripada gagasan bahasa ini untuk menemukan diri sendiri.

Nah, tidak. Aku tidak menyarankan kalian terjun dari ketinggian 50 meter lalu menamatkan riwayat sendiri. Perbuatan bunuh diri bukanlah sesuatu yang bermakna. Nirmakna tidaklah bermakna kematian menjawab segala-gala yang nihil. Cuma sebelum itu bagaimana jika aku jungkirkan makna bunuh diri yang sudah dilakar kemas oleh bahasa ke dalam diri kita sejak sekian lama. Bahasa mencorak kehidupan kita dengan memberikannya makna yang terbatas oleh kefahaman asingnya. Malangnya makna-makna yang digazetkan, kebenaran dan kebatilan, kezaliman dan juga keadilan itu hanya sekadar pakaian yang bahasa mahu kita pakai dan lipat ke dalam memori.

Justeru, dari kaca mata kalian, aku sudah membunuh diri. Aku tidaklah menamatkan riwayatku demi menjadi Tuhan di alam maya. Bahkan aku masih hidup dan buktinya terdapat pada apa yang kalian baca ketika ini. Aku hanya mahu mengajak kalian meninggalkan bahasa lalu menginjak masuk ke dalam enigma yakni hidup tanpa bahasa.

Ketika aku bangkit semula dengan bahasa remuk berkecaian di sekitar tubuhku persis serpih kaca, aku menemukan kekuatan aneh. Aku tidak perlukan sesiapa melainkan Tuhan. Aku tidak terbatas seperti hujah-hujah Wittgenstein. Aku tidak perlu melaung “Aku berbahasa maka aku ada.” Validasi adalah suatu perkara yang tidak relevan. Aku ada dan terus ada tanpa ada apa-apa mampu menggugah kewujudan diri. Aku tidak perlu mengungkapkan apa-apa. Ah, tidakkah indah dunia ini tatkala kita tidak lagi perlu membuktikan apa-apa demi mengesahkan kesahihan diri?

Aku melangkah semahu hatiku tanpa bahasa memberi kekuatan pada graviti yang mengekangku berjalan di permukaan dinding dan juga siling. Bahkan aku boleh menaiki awan dan juga menjadikan angin itu bahteraku. Meskipun tanpa bahasa, aku masih punya ingin. Barangkali manusia itu hakikat kejadiannya bermula daripada ingin. Bahasa menjadi kendera untuk “ingin” direalisasikan tetapi hakikatnya ia membataskan ingin dengan keterbatasan ‘kendera’ itu. Lalu apakah tanpa bahasa aku sudah menjadi manusia adi? Mungkin. Aku percaya aku boleh pergi lebih jauh daripada keterbatasan bahasa. Dan tiada apa yang tidak mampu dijelaskan mahupun diungkapkan bahasa berhasil mengekang gerakku.

Sedar tidak sedar aku sudah kembali ke tapak kejadian. Mayatku berkecai bersama-sama bahasaku. Aku merupakan penutur tunggal bahasaku. Lalu adakah ini bermakna umat manusia sedang mengalami kerugian? Babel sudah memecah-belahkan manusia dengan kepelbagaian bahasa yang bermutasi menjadi dinding ketidakfahaman di antara satu umat ke satu umat yang lain. Dan bahasaku yang berkecai itu menerapkan nilai kerugian di dalam benak para pencinta bahasa. Oh, aku khuatir menjadi Sisyphus. Aku tidak bebas! Aku boleh pergi ke mana sahaja aku suka tetapi ia dinoktahkan dengan babak aku menyaksikan mayatku berkecai di tapak kejadian. Mengapa? Apakah benar bahasa sudah mengunciku? Adakah aku memerlukan bahasa untuk bergerak keluar daripada petaka pengulangan ini? Aneh, ketidakbatasan menzahirkan ketidaktentuan. Ketidaktentuan pula melahirkan ketidakfahaman mengenai apa yang pasti akan terjadi. Ketidaktentuan itulah juga yang membawaku ke mari – menatap sekujur mayat yang berkecai di bawah bangunan 50 meter.

Sedar tidak sedar aku menyoroti garis waktu pula. Sehingga terlihat sebuah menara yang cukup sinonim dengan kelahiran bahasa-bahasa yang begitu banyak iaitu menara Babel. Ya, semakin lama aku tatap menara Babel itu semakin jelas apakah sifat menara itu – ia merupakan kapal angkasa makhluk asing bernama bahasa yang datang ke bumi. Ia mencerakinkan bahasa yang dituturkan Adam lalu menyelerakkan sifat bahasa yang dahulunya sekadar pendukung pertuturan kepada sejenis makhluk yang tidak dapat dipastikan jenisannya.

Di menara Babel aku daki ke puncak tertinggi lalu ditolak jatuh oleh ribuan bahasa yang menjelma menjadi gergasi. Tubuhku melayah turun ke tanah dan aku mendapati perkataan Babel sudah menjadi ‘Bebal’ dan tanpa bahasa yang mendukung kewujudan manusia selama ini, makhluk bernama manusia hanyalah sejenis mamalia tanpa peradaban. Tanpa anggota. Tanpa Tuhan. Tanpa segala-galanya.

Sebelum tubuhku terhempas terlintas di fikiranku di mana makhluk asing bernama bahasa sedang menyusun tulisan ini supaya ia boleh dibaca oleh kalian sambil ketawa.


Pengarang :