Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Malaysia perlu teknologi selamatkan sumber makanan hadapi perubahan iklim

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri dan persekutuan perlu melabur dalam teknologi tertentu sebagai persediaan sekiranya berdepan masalah jaminan makanan akibat perubahan iklim.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama berkata perkara paling dibimbangi beliau jika berlaku perubahan iklim adalah jaminan makanan sama ada ia benar-benar mencukupi atau tidak.

“Di Malaysia kita bergantung kepada negara luar untuk bekalan makanan, perubahan iklim bukan seperti tanggapan segelintir orang iaitu sekadar suhu naik beberapa darjah kemudian buka penghawa dingin kemudian selesai masalah.

“Isunya jika ia naik walaupun satu, dua darjah tetapi mampu pengaruhi sama ada tanaman itu menjadi atau tidak. Kalau terlalu banyak air hujan nanti banjir, kalau tiada air langsung tanaman tak menjadi.

“Jadi kita perlu melabur dalam teknologi tertentu yang tidak menjejaskan tanaman jika berlaku perubahan suhu, jika tidak pun kita perlu ada rancangan apa perlu dilakukan apabila keadaan itu dialami,” kata Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata demikian pada SKOP: Bersedia hadapi bencana yang disiarkan secara langsung di semua saluran Media Selangor, semalam.

Jamaliah berkata kesan perubahan iklim juga secara tidak langsung menjejaskan pendapatan petani yang bergantung hidup dengan mengusahakan tanaman.

Katanya, lebih membimbangkan apabila sumber makanan terhad dan secara tidak langsung menyebabkan harga makanan akan menjadi semakin mahal seterusnya memberi tekanan kepada masyarakat.


Pengarang :