Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua,kanan) menyampaikan cek cura bernilai RM 206,000 kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor Marwan Tajuddin (kiri) dengan disaksikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin (dua,kiri) ketika program Khas Penyampaian Bantuan Sumbangan Mangsa Bencana Ribut Daerah Kuala Selangor di Dewan Dato’ Pengawa Permatang, Kuala Selangor pada 7 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mangsa ribut Kuala Selangor syukur terima bantuan RM1,000

KUALA SELANGOR, 7 SEPT: Mangsa ribut di daerah ini bersyukur apabila Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tampil menghulurkan bantuan kewangan hari ini.

Abdul Aziz Ismail, 59, berkata sumbangan RM1,000 boleh digunakan untuk membeli barang keperluan harian memandangkan bumbung bahagian dapur rumahnya di Kampung Sawah Sempadan sudah dibaik pulih.

Abdul Aziz Ismail, 59

“Alhamdulillah, MBI merupakan pihak ketiga beri bantuan selepas Lembaga Zakat Selangor (LZS). Saya amat berterima kasih kerana mereka prihatin terhadap mangsa ribut di sini walaupun insiden sudah lama berlalu.

“Saya sudah belanjakan hampir RM3,500 untuk ganti bumbung bahagian dapur yang rosak termasuk kos upah dan sekarang keadaan rumah sudah baik,” kata bapa empat anak yang bertugas sebagai penyelia bangunan.

Terdahulu, Abdul Aziz antara 206 keluarga menerima bantuan disampaikan Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal dan Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini.

Lizawati Musnan, 39

Seorang lagi penerima Lizawati Musnan, 39, berhasrat menyimpan wang bantuan tersebut untuk kegunaan kecemasan memandangkan bumbung rumahnya di Kampung Sawah Sempadan juga sudah dibaiki.

“Saya belanjakan hampir RM5,000 untuk baiki bumbung bahagian dapur dan bilik rumah yang rosak akibat kejadian itu. Kebetulan ketika itu saya ada wang simpanan dan adik-beradik lain turut beri bantuan.

“Bagaimanapun saya berterima kasih dan menghargai komitmen MBI yang sudi menghulurkan bantuan kepada semua mangsa ribut di daerah ini,” kata ibu dua anak.

Geta Kelepan, 38

Bagi K Geta, 38, wang tersebut akan digunakan untuk membeli kelengkapan rumah seperti almari dan televisyen yang rosak susulan insiden terbabit.

“Kejadian pada hari tersebut menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin. Saya bersama emak, suami dan seorang anak terpaksa menumpang di rumah abang selama dua minggu sementara bumbung siap dipasang.

“Walaupun rumah sudah dibaiki, tetapi masih ada beberapa barang yang belum dibeli. Jadi wang sumbangan ini boleh digunakan untuk mendapatkan semula kelengkapan tersebut,” katanya yang menetap di Kampung Parit 4, Sungai Burong.

Pada 11 Mei lalu, penduduk di Tanjong Karang digemparkan dengan kejadian ribut sehingga menerbangkan atap rumah selain menyebabkan pokok di sekeliling kediaman penduduk tumbang.

Ketika kejadian, sebahagian besar penduduk sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat selain tempias air hujan yang masuk ke dalam rumah melalui bumbung.

 


Pengarang :