Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri pada 5 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Cadangan jajaran baharu MRT3 perlu dibentang dalam mesyuarat MTES

SHAH ALAM, 5 SEPT: Cadangan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) perlu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan tindakan itu berikutan wujud dakwaan jajaran terbabit akan dibina merentasi Taman Kencana Ampang, yang bakal menjejaskan 90 rumah di situ.

“Perkara itu perlu dimeterai dengan Kerajaan Negeri. Perkara melibatkan tanah, pengambilan tanah akan melibatkan pihak kita. Jadi, saya pasti perkara itu akan dibawa dalam MTES untuk kita lihat jajaran dan kesannya.

“Kita juga hendak pastikan MRT tidak terkeluar daripada keperluan penduduk dan pada masa sama tidak mendatangkan masalah kepada penempatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas perkara itu susulan kenyataan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim yang terkejut dengan cadangan jajaran tersebut kerana tidak pernah dimaklumkan.

Penduduk Taman Kencana sebelum ini dilaporkan mendesak kerajaan mengkaji semula hasrat untuk menjadikan taman mereka sebahagian daripada jajaran projek MRT3.


Pengarang :