Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Karnival Ekstrem Gua Damai sempena sambutan ulang tahun ke-25 Majlis Perbandaran Selayang di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selayang pada 11 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Cegah jenayah siber, giat program keselamatan seiring agenda negeri pintar

SELAYANG, 11 SEPT: Kerajaan Selangor melaksanakan lebih banyak program keselamatan siber tahun depan bagi membanteras kes penipuan dalam talian yang membimbangkan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya juga sedia bekerjasama dengan polis dalam menangani isu yang menjerat ramai masyarakat sejak akhir-akhir ini.

“Selepas kita menumpukan perhatian untuk kumpul dan analisa data, isu keselamatan siber akan diberikan perhatian dalam projek negeri pintar menjelang tahun depan.

“Ini mungkin dapat menghalang kecurian dan pengambilan data secara tidak sah oleh pihak tertentu yang menjurus kepada aktiviti penipuan dalam talian yang berleluasa mutakhir ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ditemui selepas menghadiri Karnival Ekstrem Gua Damai di sini, beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Amirudin juga meminta masyarakat tidak mudah mempercayai sebarang maklumat atau mesej palsu yang diterima melalui telefon pintar masing-masing, sebaliknya menyemak dahulu kesahihan.

“Dalam keadaan sekarang ramai orang terdesak dan cuba melakukan penipuan dalam talian. Apatah lagi lebih 70 peratus rakyat Selangor terhubung (dengan teknologi).

“Jadi penipuan dalam talian boleh menerjah setiap individu di telefon pintar masing-masing,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan penipuan dalam talian di Selangor terus berada pada tahap membimbangkan apabila sejumlah RM92.8 juta kerugian dicatat dalam tempoh sembilan bulan sejak Januari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor Asisten Komisioner Azman Ali memaklumkan kes penipuan menyumbang 76.9 peratus daripada rekod jenayah komersil negeri.

Sebanyak 2,011 kes adalah penipuan dalam talian manakala 601 lagi kes penipuan bukan dalam talian.

 


Pengarang :