Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pelajar dalam majlis perasmian penutupan Persediaan Pelajar ke Luar Negara di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Negeri, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB minta pelajar lepasan pengajian Islam teroka pelbagai bidang kembang syiar Islam

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pelajar lepasan pengajian Islam di luar negara disaran meneroka bidang baharu agar syiar Islam dapat dikembangkan di lapangan bidang lain.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata syiar Islam tidak semestinya disebar luaskan menerusi institusi pendidikan serta rumah ibadat semata-mata.

“Kita jangan tersekat dalam satu bidang sahaja iaitu pulang dari Timur Tengah sama ada jadi imam atau ustaz, boleh teroka bidang lain kena cari.

“Sebab itu ketika saya melantik Mohd Zawawi Ahmad Mughi sebagai EXCO kita tambah industri halal sebab kita nak lihat Islam bukan sekadar di masjid, surau tetapi banyak lagi tentang ekonomi, pembangunan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan majlis penutupan Kursus Persediaan Pelajar Negeri Selangor Ke Luar Negara anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Kursus selama sebulan itu telah diadakan di Institut Latihan dan Dakwah Selangor Sabak Bernam membabitkan 61 pelajar yang bakal ke Mesir dan Jordan dalam tempoh terdekat.


Pengarang :