Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) dan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Peristiwa kini perlu dirakam dan dibuku, jadi panduan generasi mendatang

SHAH ALAM, 10 SEPT: Perubahan politik tidak memberi makna besar kepada pentadbiran negara sekiranya tidak diikuti dengan pemantapan aspek kebudayaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penghasilan karya, buku, puisi, filem dan muzik perlu seiring dengan rentak semasa bagi membolehkan masyarakat masa kini serta masa depan memahami perubahan yang berlaku.

Mengambil contoh penularan Covid-19 pada awal 2020, beliau berkata ia bukan hanya peristiwa yang harus diingat dan diteladani tetapi juga perlu dirakam dan dipandang dari pelbagai perspektif.

“Melalui pengalaman berdepan Covid-19, Selangor dan negara dalam keadaan teraba-raba sebab darurat atau Perintah kawalan pergerakan (PKP). Catatan, pengalaman dalam karya fiksyen, kreatif atau buku sangat kurang.

“Dari PKP hingga masuk ke fasa endemik , kita harap dapat rakamkan pengalaman ini supaya masa depan dan anak cucu nanti tahu apa yang kita lalui dan ada panduan jika ia berlaku lagi,” katanya.

Beliau berucap sempena malam Hadiah Sastera Selangor 2021 di Hotel Saujana Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini yang turut dihadiri Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

Hadiah Sastera Selangor yang bermula pada 2015 dalam genre cerpen, sajak dan esei diperkenalkan Amirudin ketika menyandang jawatan EXCO Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Karya yang dinilai setiap tahun sejak tarikh itu pernah diterbitkan dalam akhbar mingguan atau portal berita Selangorkini yang diterbitkan oleh Media Selangor Sdn Bhd, agensi rasmi penerangan Kerajaan Negeri.

Namun mulai tahun 2021, demi meluaskan pembabitan penulis dan meningkatkan lagi mutu karya, Selangorkini tiga lagi penerbit bagi menjayakan Hadiah Sastera Selangor 2021.

Kerjasama tersebut dijayakan oleh Dewan Sastera (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka), jurnal kebudayaan Svara dan halaman media sosial Tukang Puisi.

Usaha baharu ini diambil sejajar dengan cadangan kumpulan juri Hadiah Sastera Selangor 2020 seperti dibentangkan dalam majlis anugerah yang disiarkan dalam talian pada 20 Julai 2021.

Bagi setiap kategori, seorang pemenang utama dan empat hadiah penghargaan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM1,000. Karya kumpulan pemenang ini dirakam dalam buku Si Pena setiap tahun selepas majlis anugerah dan dilancarkan pada majlis tahun berikutnya.


Pengarang :