Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena pelancaran coffee table book yang berkisarkan sejarah perjalanan Air Selangor dalam perkhidmatan air di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya pada 13 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pertimbang isytihar darurat iklim selepas teliti laporan pakar

PETALING JAYA, 13 SEPT: Kerajaan Negeri sedang menimbang untuk mengisytiharkan darurat iklim selepas meneliti data dan kajian lengkap bencana yang dibuat pakar dilantik.

Dato’ Menteri Besar berkata laporan penuh Universiti Putra Malaysia bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun sejak 2019 siap sepenuhnya hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Laporan awal sudah diterima. Darurat iklim antara dicadangkan tetapi kita tidak boleh umum tanpa data atau kajian dari pakar.

“Lepas terima laporan ini, kita fokus cara mengurus dan mengendalikan termasuk kawasan pantai yang mungkin terjejas teruk pada masa hadapan berikutan peningkatan paras air laut,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas melancarkan buku mewah (coffee table book) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago meminta Kerajaan Negeri mengisytiharkan darurat iklim supaya tindakan awal boleh diambil.

Pada Ogos 2019, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri bakal memiliki data bencana dan sistem pencegahan banjir serta tanah runtuh menerusi kajian dilaksanakan bersama Universiti Tohoku, Jepun.

Data berkenaan membolehkan pencegahan dan persiapan awal dijalankan unit pengurusan bencana secara lebih efektif dan efisien.


Pengarang :