SELANGOR

MB serah SPRM siasat tuntutan palsu projek tebatan banjir hampir RM900,000

PETALING JAYA, 13 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu enam individu berkaitan projek tebatan banjir bernilai hampir RM900,000.

Bagaimanapun Dato’ Seri Amirudin Shari enggan mengulas lanjut perkara terbabit selain tidak mahu mengganggu proses siasatan.

“Biar SPRM jalankan siasatan. Saya tak mahu ganggu. Tidak mahu ulas kerana proses sedang berjalan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan buku mewah (coffee table book) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini.

Hari ini, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali memerintahkan individu terbabit termasuk empat wanita direman lima hari bagi membantu siasatan tuntutan palsu projek tebatan banjir di Selangor antara 2016 hingga tahun lalu.

Semua suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor sekitar jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 itu melibatkan kerja naik taraf saliran membabitkan lebih RM250,000 manakala projek tebatan banjir berjumlah lebih RM600,000.


Pengarang :