Mangsa banjir mengambil bantuan dalam program bantuan khas bencana DUN Sekinchan di Dewan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 13 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI agih bantuan tunai RM400,000 kepada ribuan mangsa banjir

SABAK BERNAM, 14 SEPT: Sejumlah RM400,000 diperuntuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk membantu mangsa banjir di seluruh negeri pada tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata jumlah tersebut adalah agihan wang tunai kepada mangsa dan tidak termasuk bantuan lain seperti makanan asas, pakaian dan pelbagai keperluan asas lain.

“Kita memperuntukan RM1.5 juta bagi membantu mangsa bencana dan daripada jumlah itu RM400,000 hanya untuk mangsa banjir sahaja.

“Setakat ini kira-kira 2,000 mangsa banjir menerima bantuan tunai. Ini antara komitmen MBI untuk membantu serta meringankan beban mangsa bencana,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan khas bencana banjir bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan di Dewan Seri Sekinchan, di sini.

Ahmad Azri berkata bantuan kepada mangsa banjir diteruskan dalam tempoh terdekat di Kuala Kubu Bharu melibatkan 40 mangsa.

MBI melaksanakan pelbagai aktiviti CSR tahun ini antaranya agihan haiwan korban, mahabbah haji dan program tuisyen rakyat.

Tahun lalu, MBI membelanjakan RM28 juta bagi menjalankan program kebajikan dan inisiatif memerangi Covid-19.

Pemerbadanan itu juga mengagihkan RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir dan sumbangan kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit.


Pengarang :