Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan pelancaran program Pelapis Aeroangkasa Selangor ketika Majlis Perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI-GE Malaysia lancar program perantis asah bakat muda sertai industri aeroangkasa

SHAH ALAM, 19 SEPT: Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI bekerjasama dengan GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd (GE Malaysia) melancarkan Program Perantis Aeroangkasa Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek berkata program berkenaan turut membabitkan kerjasama Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (BPSM SUK).

Menurutnya, MBI berhasrat untuk mengasah dan memperkasa belia untuk menyertai industri aeroangkasa dalam membina rantaian bakat atau tenaga kerja aeroangkasa yang mampan untuk Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek bercakap ketika Forum Rancangan Selangor Pertama (Ekonomi) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagi memacu industri aeroangkasa untuk lebih maju seperti prapandemik dan masa hadapan, MBI melihat kewajaran untuk menangani isu ini secara asas yang mana salah satu cabaran utama yang dihadapi adalah berkaitan dengan kekurangan tenaga kerja dan bakat.

“Oleh itu, kami bekerjasama dengan GE Malaysia dan BPSM SUK untuk menyediakan latihan sambil bekerja kepada lebih 50 perantis. Program ini merangkumi latihan penyelenggaraan enjin dan kejuruteraan teknikal dalam sistem mekanikal dan elektrik,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Norita, sebahagian besar daripada sesi latihan diadakan di fasiliti latihan GE Malaysia manakala selebihnya diadakan di fasiliti GE yang lain di seluruh dunia.

“Selain itu, kita juga menjalinkan kerjasama dengan sepuluh syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di Selangor antaranya GE Malaysia dan Spirit AeroSystems Malaysia Sdn Bhd.

“Kita juga bekerjasama dengan syarikat besar tempatan bagi mewujudkan Platform Rangka Kerja Kemahiran Selangor (SSFP) iaitu platform sehenti yang menyediakan akses kepada keperluan kemahiran pekerjaan dan laluan kerjaya dalam usaha memperkasa dan memanfaatkan kekuatan industri dan mengurangkan jurang sedia ada,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, program kerjasama antara MBI dan GE Malaysia dilancarkan sempena Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang dekat sini pada 8 September lalu.

Menerusi majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan plakad diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan BPSM SUK diwakili Siti Azrah Mohd Ibrahim.


Pengarang :