Mangsa ribut mengambil sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam satu program di Dewan Dato’ Pengawa Permatang, Kuala Selangor pada 7 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI hulur RM1.5 juta bantu mangsa bencana serata negeri tahun ini

KUALA SELANGOR, 7 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM1.5 juta daripada RM30 juta peruntukan jabatan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi membantu mangsa bencana.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata dana berkenaan disalurkan melalui Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan terjejas.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada Media Selangor selepas program Khas Penyampaian Bantuan Sumbangan Mangsa Bencana Ribut Daerah Kuala Selangor di Dewan Dato’ Pengawa Permatang, Kuala Selangor pada 7 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Peruntukan ini digunakan sejak awal tahun lagi ketika Selangor dilanda banjir besar hujung tahun lepas termasuk beberapa kawasan yang terkena ribut.

“Kita sentiasa bersedia untuk bantu asalkan ADN maklumkan kepada kita. Selepas itu kita akan lihat prosesnya adakah ia perlu dibawa ke MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) atau MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri).

“Tetapi sekiranya kos bawah RM50,000, kita akan urus sendiri tanpa melalui proses tertentu,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan RM206,000 kepada 206 keluarga terjejas ribut di Kuala Selangor melalui ADN Permatang Rozana Zainal Abidin di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Azri menambah serahan bantuan bencana ribut akan disalur kepada mangsa di Sekinchan dan Hulu Selangor pada minggu hadapan.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu melaksanakan pelbagai aktiviti CSR tahun ini antaranya agihan haiwan korban, mahabbah haji dan program tuisyen rakyat.

Tahun lalu, MBI membelanjakan RM28 juta bagi menjalankan program kebajikan dan inisiatif memerangi Covid-19.

Pemerbadanan itu juga mengagihkan RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir dan sumbangan kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit.


Pengarang :